Terkini – Kronologi Perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai 2011
11:00 pagi – 102 Di Tahan Sekitar Kampung Baru
Setakat 11 pagi, pihak polis menahan seramai 102 orang di kawasan sekitar Kampung Baru kerana disyaki terlibat dalam kumpulan yang menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Kesemua mereka ditahan kerana didapati memiliki kemeja-T warna kuning dan berlogo Bersih hasil pemeriksaan polis.
Tangkapan yang bermula sejak pukul 8 pagi itu melibatkan tiga operasi di Jalan Raja Abdullah, Jalann Raja Muda Musa dan Lorong Hasan Salleh.
Operasi pertama melibatkan seramai 28 orang pada pukul 8.30 pagi, manakala operasi kedua (8.50 pagi hingga 9 pagi) dan ketiga (11 pagi) masing-masing 37 orang.
Mereka yang ditahan dihantar ke Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak. – Mstar Online
1:21 petang – Kira – Kira 21 Orang Ditahan Di Hadapan SOGO
Kira-kira 21 orang ditahan kerana disyaki terlibat dengan perhimpunan haram Bersih, di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini hari ini.
Sementara itu, gedung beli-belah Kamdar dan beberapa premis perniagaan termasuk Mydin di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini tidak beroperasi sehingga tengah hari ini.
Kamdar melalui satu notis yang ditampal di pintu masuknya mengumumkan tidak membuka perniagaan hari ini.
Bagaimana pun, pusat beli-belah Sogo masih dibuka sehingga tengah hari ini. – Utusan
1:33 petang – Penyokong bergerak ke Dataran Merdeka
Penyokong-penyokong perhimpunan haram Bersih yang dihalang ke Stadium Merdeka kini bergabung dengan jumlah kira-kira 10,000 untuk bergerak ke Dataran Merdeka pula.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga Bendahari Pas, Dr Hatta Ramli mula memberi ceramah di Jalan Pudu selepas penyokong pertubuhan haram Bersih itu berpatah balik ke Jalan Pudu.
Beliau telah mengarahkan para penyokong agar memakai baju-T kuning Bersih. – Utusan
1:43 petang – Penyokong Bergerak Dari Dataran Maybank
Kira-kira 5,000 penyokong pertubuhan haram Bersih berhimpun di Dataran Maybank di sini hari ini.
Kumpulan yang pada mulanya menuju ke Stadium Merdeka kini berpatah balik dan menuju ke arah kumpulan yang sedang berkumpul di Kotaraya. – Utusan
2:00 petang – 644 Orang Ditahan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan jumlah tangkapan sehingga pukul 2 petang ini adalah seramai 644 orang.
2:05 petang – Air dan Gas Pemedih Mata Terpaksa Dilepaskan
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengambil tindakan dengan menembak air di depan Bangunan Maybank bagi mengawal keadaan para penunjuk perasaan di situ.
Kumpulan yang tadinya berhimpun bertempiaran lari menyelamatkan diri masing-masing.
Sementara itu, di Jalan Pudu, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata kepada para penyokong pertubuhan haram Bersih.
Kekecohan dan pergelutan antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa terus berlaku apabila polis mula melakukan tangkapan secara besar-besaran.
2:26 petang – Anuar dan Pengikut Buat Kecoh Di Kl Sentral
Pemimpin-pemimpin parti pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim serta lebih 1,000 penyokong mereka membuat kecoh di KL Sentral di sini hari ini.
Anwar sambil diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum itu keluar dari hotel berkenaan tepat pukul 2 petang.
Berlaku kekecohan apabila kesemuanya merempuh sekumpulan polis yang membuat halangan di pintu masuk stesen tersebut ketika hujan lebat.
2:44 petang – Polis Bersiap Sedia Di Istana Negara
Anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan mula bersiap sedia mengawal ketat jalan raya memasuki Istana Negara.
Setakat pukul 2.20 petang, anggota keselamatan mula membuat rantaian kerana dipercayai pemimpin pembangkang dan penyokong pertubuhan haram Bersih akan cuba memasuki laluan ke Istana Negara.
Sementara itu, kira-kira 400 lagi penyokong perhimpunan haram kini cuba memasuki Jalan Maharajalela berhampiran Menara Tun Sambanthan untuk menuju ke Stadium Merdeka. – Utusan
3:00 petang – Abdul Azeez Ditahan
Perarakan perhimpunan Patriot Pemuda UMNO dihalang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di persimpangan Jalan Bukit Bintang-Jalan Pudu.
Keengganan ahli-ahli yang terlibat bersurai daripada perhimpunan tersebut menyebabkan FRU terpaksa menyembur gas pemedih mata.
Sementara itu, Pengerusi Kelab 1Malaysia merangkap ahli majlis tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditahan oleh polis kerana menyertai perhimpunan Patriot.
3:05 petang – Ambiga, Hadi, Mat Sabu, Tian Chua Ditahan
Penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditahan polis di KL Sentral di sini hari ini.
Mereka ditahan semasa bersama para penyokong Bersih merempuh benteng polis pukul 2.20 petang.
Turut ditahan sebelum itu, Maria Chin, Mohamad Sabu, Tian Chua, R. Sivarasa dan Ngeh Koh Ham.
3:15 petang – Khairy Ditahan
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut ditahan kerana menyertai perhimpunan Patriot bagi membantah perhimpunan haram Bersih. Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said bersama para penyokong pertubuhan haram Bersih cuma memasuki Stadium Merdeka.
4:20 petang – Orang Ramai Mula Bersurai
Orang ramai yang berkumpul di Kuala Lumpur untuk Bersih dan Patrior bersurai. Polis memantau situasi. Seorang penganjur kanan Bersih meminta para penyokong berdekatan Dewan Perniagaan Cina di Jalan Maharajalela supaya bersurai.
4:47 petang – Penyokong Di Stadium Merdeka Mula Bersurai
Penyokong-penyokong Bersih 2.0 yang berhimpun di luar Stadium Merdeka sejak pukul 2.30 petang mula bersurai dari kawasan bersejarah itu di sini.
Sementara itu, sekumpulan penyokong perhimpunan haram itu dipercayai mula berhimpun di sekitar Kuala Lumpur, menurut sumber polis.
Sementara itu, polis mula membuka halangan-halangan di sekitar stadium berkenaan walaupun masih ramai berada di kawasan tersebut.
Perhimpunan di luar Stadium Merdeka itu diketuai oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Saiddan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa – Mstar Online
[…] 2.0 | Senarai Terkini Pemimpin Yang Ditahan Sempena Bersihby Hazmin Hamudin on 09/07/2011Menurut laporan terkini perhimpunan Bersih 2.0, setakat pukul 5:30 petang, polis telah menahan seramai 924 orang sempena perhimpunan Bersih 2.0 […]