Pemain bola sepak Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin, 26, berdepan detik cemas apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di laluan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kelmarin. Kereta Mitsubishi Lancer GT yang dipandunya remuk teruk akibat kemalangan tersebut.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, kenderaan berkenaan dikatakan berpusing beberapa kali sebelum melanggar pagar sebuah kem tentera berhampiran lokasi kejadian.
Ketika itu, Mohd Daudsu menaiki kereta bersama isteri, Nursyahmina Rafudian, 26, dan anaknya, Nik Dhiya Quistinya, setahun, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sireh, di sini, ke Lapangan terbang Sultan Ismail Petra.

Menurutnya, keretanya gagal dikawal selepas dia terpaksa mengelak melanggar seorang lelaki berusia 60-an yang terbaring di atas jalan raya selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta jenis Proton Iswara.

Mohd Daudsu dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi isterinya cedera ringan. Kereta pemain pertahanan Kelantan itu pula remuk di bahagian hadapan dan sisi.
