Bukan aku dok sibuk atau nak ambik tahu sangat pasal dunia politik ni. Tapi dalam kes ni aku terpanggil untuk meluahkan atau pun lebih kepada memberi pandangan tentang isu yang sedang hangat diperkatakan di kebanyakan media sama ada elotronik atau cetak. Malaysia seperti kebiasaanya akan menghantar bantuan untuk membawa pulang rakyatnya daripada negara bergolak tersebut dan berpegang kepada polisi tidak akan mencampuri urusan negara lain.
Keadaan di Libya yang semakin meruncing dan membimbangkan telah menjadi bertambah buruk berikutan beberapa negara Barat yang sudah pasti diketuai oleh Amerika ingin melancarkan tindakan ketenteraan. Alasannya adalah untuk mengelakkan pembunuhan beramai-ramai dan ribuan rakyat Libya menjadi pelarian di Eropah.
Tindakan Amerika Syarikat menghantar empat kapal perangnya ke perairan Libya dan kemungkinan diikuti sekutu kuatnya yang lain dilihat mungkin tindakan yang tidak wajar dalam menangani krisis tersebut. Barrack Obama selepas mencampuri urusan di Mesir, beralih pula kepada Libya dan sudah tentulah akan memburukkan lagi pergolakan yang berlaku. Tindakan beliau ini dilihat seperti Presiden yang memimpin dunia dan negara-negara lain dan bukannya negaranya sendiri. Adakah beliau dipilih oleh rakyat seluruh dunia untuk mengetuai segala bentuk tindakan ke atas mana-mana negara ? Jawapannya sudah tentu tidak sama sekali.
Kedegilan dan keangkuhan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi itu sendiri untuk terus berkuasa, selain melancarkan perang ke atas rakyatnya sendiri telah memberi ruang kepada negara Barat untuk menceroboh negara tersebut seperti yang berlaku di Iraq. Dengan menjadikan faktor keamanan dan kemanusian, sebenarnya rakyat diseluruh dunia telah dikaburi oleh propaganda Barat tersebut. Mereka sebenarnya lebih berminat untuk mempertahankan kepentingan ekonomi mereka iaitu bekalan minyak daripada telaga di Libya berbanding niat untuk menjaga rakyat dan meredakan krisis tersebut.
Jika ini berlaku, dunia terutamanya negara islam akan melihat sebuah lagi negara islam tersungkur di tangan kuasa besar dunia Barat selepas tersungkurnya kerajaan Iraq. Inilah bahana dan akibatnya jika krisis dalaman sesebuah negara tidak dapat ditangani dengan bijak oleh seseorang pemimpin. Bagi Libya, tidak ada siapa yang akan menang sama ada puak penentang atau pun pro kerajaan kerana yang akan menang adalah Barat yang lebih bimbangkan sumber minyak mereka yang mula tergugat.
Amat menyedihkan jika kejatuhan Libya ke tangan Barat dilihat sebagai batu loncatan dalam menjatuhkan sebuah lagi negara Arab yang selama ini memusuhi Israel. Apa yang perlu difikirkan apakah yang akan terjadi selepas itu kerana siapakah yang akan berkuasa ? Adakah Libya akan turut diikat dan dipegang oleh Ameria ?