Best sangat ke filem Hantu Bonceng ni ? Tu lah persoalan yang bermain dalam fikiran aku bila baca berita ni. Mana taknya, dalam masa lima hari tayangan sejak 31 Ogos 2011 lalu, filem arahan Ahmad Idham ini telah berjaya mengutip sebanyak RM 5 juta. Memang hebat betul penangan hantu bonceng ni.
Ni yang membuatkan aku nak pergi tengok cerita yang berjaya membuatkan ramai orang beraya di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia ni pada hari raya ni. Nak jugak merasai sendiri kehebatan filem yang telah berjaya membuat rekod pembukaan terbesar musim perayaan.
Filem ni juga merupakan filem terbitan syarikat milik Ahmad Idham sendiri iaitu Excellent Pictures. Bagus la kan kalau dah ada syarikat sendiri untuk menerbitkan filem. Ni asyik nak berkerja dengan orang lain dan hasil titik peluh terpaksa pula dikongsi bersama dengan orang lain. Bila dah ada syarikat sendiri mesti puas hati bila berjaya mencapai kejayaan seperti filem Hantu Bonceng ni.
Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada Ahmad Idham kerana telah berjaya sekali lagi menghasilkan filem yang berkualiti untuk tontonan rakyat Malaysia.
PETALING JAYA: Filem terbaharu arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Hantu Bonceng, berjaya mendapat kutipan sebanyak RM5 juta dalam masa lima hari tayangan bermula 31 Ogos lalu.
Menurut Ahmad Idham, dia bersyukur dengan pencapaian filem di bawah terbitan syarikatnya sendiri, Excellent Pictures itu kerana Hantu Bonceng mencatat sejarah dengan kutipan tiket terbesar pada musim perayaan.
“Alhamdulillah, kutipan tiket Hantu Bonceng mencecah RM1 juta bagi setiap hari tayangan. Melalui tinjauan di beberapa lokasi di Lembah Klang ada juga penonton yang kecewa kerana tiket sudah habis.
“Daripada makluman pengurus panggung pula, tiket-tiket di sebelah malah sudah habis di waktu petang. Jadi saya menasihati supaya membeli tiket lebih awal atau membuat tempahan secara dalam talian,” katanya melalui satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel di sini, Isnin.
Tambah Ahmad Idham, dia juga bersyukur kerana hasil promosi yang kuat menerusi di ruangan akhbar, radio, televisyen serta di laman sosial Twitter dan Facebook,ia telah berjaya menarik perhatian ramai untuk menonton filem tersebut.
Perkiraan kutipan tiket Hantu Bonceng yang dibintangi oleh Zizan Razak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid AF dan ramai lagi dikira menerusi tayangan di 80 buah pawagam serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Saya juga ingin menyeru kepada sesiapa yang masih lagi belum menonton filem saya ini, silalah ke pawagam berhampiran bersama-sama rakan mahupun keluarga kerana saya jamin, selain memberikan hiburan dengan lawak komedi pelakon-pelakonnya, ia juga menyampaikan mesej yang berguna buat semua.
“Diharap, dengan sokongan yang diterima daripada peminat-peminat akan berterusan, mana tahu, Hantu Bonceng akan melakar sejarah yang tersendiri,” ujarnya.