Selamat Menyambut Hari Thaipusam 2011
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh golongan yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu ataupun dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan ‘Thai’ (Januari/Februari) iaitu bulan kesepuluh pada kalendar Tamil. Pada hari tersebut, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.
Tujuan menyambut Hari Thaipusam adalah untuk menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Naza ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika dikabulkan, maka satu acara tertentu akan diadakan sebagai tanda kesyukuran.
Pada hari itu mereka akan membawa susu (berwarna putih) kerana susu itu dianggap paling suci dan diisikan di dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga tersebut akan dihias dengan pelbagai corak , warna , daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Terdapat juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala dengan warna oren. Ia merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar.
Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, mereka akan membawa dan menjunjung kavadi di atas bahu atau kepala. Kavadi ini diperbuat daripada rod besi atau kayu yang di atasnya diletakkan patung Dewa Murugan. Terdapat juga pelbagai cara menyeksa diri yang dilakukan bagi menunjukkan mereka memohon ampun, sebagai contoh berjalan diatas kasut berpaku.
Di Malaysia, perayaan Thaipusam disambut secara besar-besaran di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves, Selangor.